Search

Wanita curi pakaian di Butik Siti Khadijah Imago dicari

October 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang wanita yang dipercayai mencuri beberapa helai pakaian di Butik Siti Khadijah, pusat beli-belah Imago, di sini, baru-baru ini.

Kejadian itu dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berkenaan pada 19 September lalu, kira-kira jam 11.24 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat oleh pekerja butik terbabit pada 20 September lalu selepas menyedari kehilangan pakaian berkenaan.

“Hasil semakan rakaman CCTV mendapati seorang wanita disyaki pelanggan telah masuk ke dalam butik berkenaan sebelum mengambil satu helai baju bernilai RM158 dan satu helai skirt bernilai RM188 lalu memasukkan pakaian itu ke dalam beg miliknya.

“Suspek kemudiannya meninggalkan premis tanpa membuat sebarang pembayaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Kasim berkata, orang awam yang mempunyai maklumat atau mengenali individu dalam gambar yang disertakan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Majer (SM) Rosmah di talian 011-31677612 bagi membantu siasatan.

“Polis menasihatkan peniaga dan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap aktiviti mencurigakan di kawasan premis perniagaan serta memastikan kamera keselamatan berfungsi dengan baik,” katanya. – Info X