KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki mencuri sebuah beg sandang milik jemaah di surau Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini, Isnin lalu.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada 6 Oktober lalu, kira-kira jam 1 tengah hari, selepas mangsa selesai menunaikan solat Zohor di surau tingkat empat hospital berkenaan.
Mangsa menyedari beg sandang miliknya yang diletakkan di meja bahagian sudut belakang surau telah hilang dan dipercayai dicuri oleh individu tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, mangsa cuba mencari beg berkenaan namun gagal menemuinya sebelum membuat laporan polis.
“Anggaran kerugian yang dialami dianggarkan sebanyak RM1,300.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dipercayai telah mengambil beg berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Kasim berkata, orang awam yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Joevyn Manuel Ayunini di talian 016-9310721 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, beliau berkata orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan barangan berharga berada dalam pengawasan, terutama ketika berada di tempat awam seperti surau, hospital dan pusat membeli-belah. – Info X