PUTATAN: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas berpegang kepada perlembagaan parti dalam urusan pemilihan dan pengumuman nama calon yang bakal mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketuanya, Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, sesiapapun tidak sewajarnya mendahului presiden parti untuk mengumumkan nama calon, lebih-lebih lagi mengisytiharkan diri sendiri sebagai calon di sesuatu kawasan.
Katanya, selagi tiada pengesahan rasmi presiden, tindakan itu bukan saja bertentangan dengan amalan biasa politik, malah melanggar perlembagaan parti yang sepatutnya dijadikan panduan pemimpin dan ahli parti.
“Sebagai ahli parti, kita mesti menghormati perlembagaan dan sistem berpresiden yang diamalkan.
“Hanya presiden atau pihak yang dilantik seperti Setiausaha Agung sahaja berhak membuat pengumuman rasmi berkaitan calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Kejuaraan Dart Belia Putatan, di sini, pada Sabtu.
Isquzawan berkata, pemimpin dan ahli parti perlu memahami bahawa disiplin serta kepatuhan terhadap struktur organisasi amat penting bagi memastikan imej parti kekal utuh dan tidak mengelirukan rakyat.
“Kalau seseorang ahli parti sendiri membuat pengumuman tidak sahih, ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan pengundi.
“Itu sebabnya maklumat rasmi mesti datang daripada sumber yang diberi kuasa,” katanya mengulas tindakan pemimpin tertentu mengumumkan diri sebagai calon tanpa pengesahan Presiden.
Sementara itu, Isquzawan berkata generasi muda berperanan penting dalam pilihan raya akan datang, sambil menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti untuk memberi peluang kepada lebih ramai calon muda dan wanita untuk bertanding pada PRN17.

“Data menunjukkan lebih 600,000 pengundi baharu terdiri daripada golongan muda. Jadi keseimbangan calon amat penting.
“Perlu ada orang lama, wanita, dan juga belia supaya kita dapat mendekati semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan, keseimbangan dalam pemilihan calon bukan sahaja mencerminkan semangat inklusif parti, malah memastikan setiap segmen masyarakat mempunyai wakil yang memahami keperluan mereka.
“Saya yakin presiden akan menilai dengan bijaksana agar calon yang diketengahkan nanti benar-benar mewakili suara rakyat Sabah secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menyeru semua ahli parti agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih, sebaliknya menunggu pengumuman rasmi daripada kepimpinan tertinggi.
“Kita mahu rakyat menerima maklumat tepat dan bukannya berita tidak sahih yang boleh mengelirukan mereka.
“Tanggungjawab menyampaikan maklumat ini harus datang daripada mereka yang benar-benar diberi amanah oleh parti,” katanya.
Pada majlis itu, bekas Ahli Parlimen Putatan yang juga Ketua Cabang PKR Putatan, Awang Husaini Sahari turut hadir sebagai tanda sokongan kepada anak muda di Petagas dalam menghadapi PRN17. – Info X