KOTA KINABALU: DAP Sabah menghormati keputusan bekas pengerusinya, Datuk Frankie Poon dan bekaa Setiausaha Organisasinya, Liau Fui Fui yang mengumumkan keluar parti pada Sabtu.
Menerusi satu kenyataan, Datuk Phoong Jin Zhe menzahirkan terima kasih parti itu terhadap kedua-dua pemimpin berkenaan atas perkhidmatan dan sumbangan mereka kepada parti dan rakyat selama ini.
“Kita mendoakan yang terbaik kepada masa depan mereka. Ini adalah masanya untuk kita kekal fokus terhadap rakyat di Sandakan dan membawa lebih banyak pembangunan yang positif kepada masyarakat di Sandakan.
“Saya ada bercakap kepada Setiausaha DAP Sabah yang juga Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong awal hari ini. Saya memberi sepenuh kepercayan terhadap kepemimpinannya untuk menyatu dan mengukuhkan jentera parti di Sandakan.
“Ia bagi memastikan kita terus memberi idea dan khidmat yang berpaksikan rakyat sambil meneruskan perkhidmatan kita dengan sebaik mungkin di bawah,” katanya.
Jin Zhe yang juga penyandang kerusi DUN Luyang, berkata beliau bersama barisan kepemimpinan DAP Sabah akan terus bekerja dengan kejujuran, rendah diri dan dedikasi untuk memberi khidmat kepada rakyat dan melaksanakan perjuangan untuk Sabah yang lebih baik kepada rakyatnya.
“Kita bersama-sama membuka lembaran baharu yang membawa harapan, daya tahan dan kesatuan kepada seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Terdahulu, Frankie dan Fui Fui dalam kenyataan bersama mereka menyatakan keputusan keluar DAP dibuat selepas mengambil kira situasi semasa yang menunjukkan ada usaha untuk meminggirkan mereka di Tanjung Papat.
Situasi itu kata mereka menunjukkan kurangnya penghargaan terhadap pemimpin veteran dan senior yang telah sekian lama berkorban dan menyumbang kepada parti. – Info X