PUTATAN: Dua buah rumah teres di Taman Bersatu, di sini, musnah hampir keseluruhan dalam kebakaran, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu, api dipercayai bermula dari salah satu rumah sebelum merebak dengan cepat ke rumah bersebelahan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 petang dan tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, api didapati sedang marak membakar dua rumah teres jenis kekal. Kedua-dua rumah terbakar sebanyak 90 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seramai 18 anggota dari BBP Putatan dan BBP Kota Kinabalu terbabit dalam operasi itu, dibantu tiga anggota polis dan Sabah Electricity.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.50 petang sebelum kerja-kerja overhaul dijalankan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X