Search

Disangka tidur dalam kereta, rupanya meninggal dunia

October 11, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki yang disangkakan tidur di dalam kereta didapati sudah meninggal dunia dalam kejadian di hadapan Masjid Kampung Mesej Nala, Tungku, di sini, tengah hari tadi.

Kejadian itu disedari oleh orang awam yang baru selesai menunaikan solat di masjid berkenaan apabila ternampak sebuah kereta diletakkan di kawasan parkir dengan pemandunya tidak bergerak seperti sedang tidur.

Orang awam berkenaan kemudian cuba mengetuk cermin kenderaan namun tiada sebarang tindak balas sebelum membuka pintu dan mendapati lelaki terbabit tidak sedarkan diri, lalu menghubungi pihak polis pada jam 12.55 tengah hari untuk mendapatkan bantuan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Tungku bersama pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tungku bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas.

“Pemeriksaan awal pada badan dan sekitar kenderaan tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

“Polis meminta mana-mana individu yang melihat kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes,” katanya. – Info X