Search

Operasi SAR dua pelancong China di Pulau Mantanani ditamatkan

October 12, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Selepas tujuh hari digerakkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pelancong warga China yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mantanani sejak 5 Oktober lalu, ditamatkan hari ini.

Operasi yang bermula sejak minggu lalu itu melibatkan kekuatan seramai 95 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Udara (Unit Dron), Pasukan Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Selain itu, operasi turut dibantu oleh penduduk kampung serta operator resort pelancongan di sekitar Pulau Mantanani yang memainkan peranan penting sepanjang tujuh hari pencarian dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, walaupun operasi SAR ditamatkan pada jam 10 pagi tadi, rondaan dan pengawasan tetap diteruskan di sepanjang perairan pantai barat hingga ke utara Kudat bagi mengesan sebarang petunjuk baharu.

Katanya, keputusan menamatkan operasi dibuat selepas penilaian terhadap semua kawasan pencarian yang meliputi radius luas sekitar perairan Mantanani dilakukan tanpa menemui sebarang petunjuk baharu.

Operasi pencarian yang dijalankan pasukan keselamatan di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud.

“Sepanjang tujuh hari operasi dijalankan, keadaan cuaca buruk dan ombak tinggi sedikit menjejaskan usaha pasukan SAR.

“Namun, walaupun operasi rasmi ditamatkan, pemantauan di laut akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi, hari ini.

Shahrudin (tiga dari kanan) bersama ahli keluarga kedua-dua mangsa pelancong China yang dilaporkan hilang di Pulau Mantanani, Kota Belud, sejak 5 Oktober lalu.

Sementara itu, beliau menyeru pengusaha bot pelancongan dan nelayan di kawasan pantai barat hingga ke utara negeri ini agar segera menghubungi balai polis berhampiran sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan dua pelancong yang masih hilang.

“Penghargaan turut diberikan kepada semua agensi dan komuniti setempat termasuk pengusaha resort yang turut membantu sepanjang operasi dijalankan.

“Walaupun kita tutup operasi rasmi, semangat kerjasama semua pihak amat dihargai. Kita masih berharap akan ada perkembangan positif daripada rondaan dan pemantauan berterusan,” katanya.

Terdahulu, dua pelancong warga China, lelaki dikenali sebagai Yu Xiapeng, 25, dan wanita, Fan Qin, 28, dilaporkan hilang selepas gagal dikesan sejak 5 Oktober lalu ketika menginap di Sutera Mantanani Resort, Pulau Mantanani. – Info X