Search

PRN17: Joniston sangkal PBS mahu tinggalkan GRS

October 13, 2025

Info X Reporters

KIULU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyangkal sebarang spekulasi yang mengatakan parti itu merancang untuk meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai, menyifatkan dakwaan itu sebagai cubaan pihak tertentu untuk menimbulkan kekeliruan rakyat dan memperlekeh kesatuan GRS.

Katanya, khabar angin mengenai perkara itu hanya bertujuan untuk meresahkan penyokong dan mengganggu kestabilan politik yang dikekalkan GRS menerusi kerjasama dalam kalangan parti komponennya.

“Isu PBS keluar dari GRS tidakpun disebut pada Mesyuarat Majlis Tertinggi baru-baru ini.

“Malah, pemangku Presiden, Datuk Dr Joachim Gunsalam mengulangi komitmen PBS untuk menguatkan GRS sebagai gabungan tempatan yang kukuh dan mengekalkan hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Penyandang kerusi DUN Kiulu itu berkata demikian pada sesi bertemu rakyat di Kampung Lokub, di sini, pada Ahad.

Joniston bersalam dengan penduduk Kampung Lokub.

Joniston berkata pendirian GRS sentiasa berlandaskan kepercayaan bahawa kesatuan dalam kalangan parti tempatan sangat penting bagi memastikan kestabilan politik jangka panjang dan melindungi kepentingan Sabah.

Jelasnya, PBS tetap memberi perhatian terhadap sentimen rakyat di bawah, namun menegaskan bahawa apa yang popular tidak semestinya betul.

Beliau turut memberi peringatan bahawa perubahan arah politik yang kerap adalah sesuatu yang tidak sihat kerana boleh menjurus kepada ketidakstabilan yang memudaratkan kemajuan.

“Kita tidak boleh berpecah kerana pihak lain yang akan mendapat untung,” katanya.

Beliau menekankan keperluan untuk PBS dan GRS kekal fokus dan bersatu padu memandangkan pilihan raya sudah semakin dekat.

“Kita mengakui landskap politik Sabah yang dinamik dan keputusan kita perlu didasarkan kepada realiti.

“PBS komited untuk memastikan GRS berkembang menjadi sebuah pasukan politik yang dominan di Sabah seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak,” katanya. – Info X