Search

PRN17: Cadangan UPKO guna lambang sendiri bukan tanda tidak setia kepada PH

October 13, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Pemimpin UPKO menyangkal dakwaan kononnya cadangan penggunaan lambang parti itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) menunjukkan ketidaksetiaannya terhadap Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda UPKO Tuaran, Rayner Ebi, sebaliknya berkata cadangan bagi melaksanakan pendekatan itu adalah sebahagian daripada strategi politik.

“Cadangan penggunaan logo parti tidak wajar dilihat sebagai tanda kurang setia, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi politik yang mengambil kira identiti tempatan.

“PH Sabah sentiasa mengamalkan prinsip perbincangan dan kesepakatan,” katanya mengulas isu penggunaan logo parti pada pilihan raya nanti.

Sebelum ini, difahamkan ada cadangan supaya UPKO menggunakan lambang parti itu sendiri untuk meletakkan calon di mana-mana kerusi yang disasarkan.

Rayner berkata, PKR sendiri sebelum ini juga menggunakan logo parti ketika PRN Johor pada 2022, manakala Amanah dan DAP menggunakan logo PH.

“Contoh ini menunjukkan bahawa PH sememangnya terbuka terhadap kepelbagaian strategi di bawah satu payung kerjasama. Jadi, tidak timbul isu kesetiaan dalam perkara ini,” katanya.

Jelasnya, cadangan mengenai penggunaan logo pada PRN kali ini perlu dilihat secara matang dan berlandaskan semangat muafakat dalam PH.

Katanya, Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini memberikan autonomi kepada PH Sabah untuk menentukan pendekatan dan strategi politik di peringkat negeri.

“Dalam mesyuarat pimpinan PH Sabah pada 29 Mei 2025, Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa PH Sabah mempunyai empat ketua mewakili empat parti komponen dan penyelarasan keseluruhan akan diterajui oleh Pengerusi PH Sabah, Datuk Ewon Benedick,” katanya.

Beliau berkata kenyataan itu memperlihatkan kepercayaan dan penghormatan kepimpinan pusat terhadap keunikan politik Sabah dan UPKO berpegang kepada semangat itu dalam setiap pertimbangan.

UPKO katanya yakin kepimpinan tertinggi PH tidak melihat isu itu sebagai satu perbalahan, sebaliknya akan menanganinya dengan kebijaksanaan seperti mana kebiasaan dalam gabungan itu.

“Kita serahkan ruang ini kepada Majlis Presiden PH untuk meneliti dan memutuskan dengan cara terbaik. Bagi UPKO, yang paling penting ialah memastikan kesatuan dan kekuatan bersama terus diperkukuh demi rakyat,” katanya.

Tegasnya, UPKO kekal komited untuk memperkukuh kerjasama dalam PH selaras dengan semangat saling menghormati dan tanggungjawab bersama membina masa depan Sabah yang lebih maju dan sejahtera. – Info X