KUALA PENYU: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kuala Penyu, menyangkal dakwaan sebuah portal yang menuduh penyandang kerusi DUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury bakal meninggalkan parti menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Penerangannya, Jepinus Kamuin, menyifatkan dakwaan kononnya Pembantu Menteri Interim Kerja Raya itu bakal menyertai PKR sebagai tidak berasas selain sesuatu yang mengelirukan, ketika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sibuk mempersiapkan jentera pilihan raya.
Beliau menegaskan, laporan itu bukan saja palsu dan berniat jahat, malah jelas menunjukkan satu gerakan propaganda kotor pembangkang yang semakin terdesak menjelang PRN17.
“Artikel itu bukan sekadar fitnah biasa, ia adalah serangan terancang pembangkang yang sudah mula panik dengan sokongan rakyat terhadap Limus di Kuala Penyu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pihak pembangkang sudah kehabisan modal politik dan cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan GRS sebagai langkah terdesak untuk mengalihkan sokongan kuat rakyat terhadap Limus.
“Mereka tahu pengaruh Limus di Kuala Penyu terlalu kuat untuk digugat. Jadi jalan paling mudah bagi mereka ialah menabur fitnah dan menghasut rakyat dengan cerita rekaan,” katanya.
Jepinus turut menyifatkan tindakan menyebarkan berita palsu itu sebagai usaha terdesak untuk menggugat kestabilan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.
Jelasnya, ia adalah taktik lama pembangkang, iaitu dengan mencipta kekeliruan, menyebar fitnah, sebelum kemudiannya menuduh gabungan kerajaan tidak stabil.
“Tapi rakyat Sabah bukan bodoh, mereka tahu siapa yang bekerja untuk negeri dan siapa yang cuma pandai bercakap di media sosial,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Limus kekal setia bersama GRS dan Gagasan Rakyat serta terus komited membantu merealisasikan dasar pembangunan negeri di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Jepinus berkata, Limus bukan pemimpin yang bermain politik waktu sempit, sebaliknya sentiasa turun padang mendengar masalah rakyat, menyalurkan bantuan dan memperjuangkan projek-projek pembangunan luar bandar.
“Selama ini, beliau konsisten memperjuangkan isu infrastruktur, pendidikan dan peluang ekonomi di Kuala Penyu. Pembangkang hanya tahu mengkritik di media sosial, tapi bila rakyat perlukan pertolongan, mereka tidak kelihatan,” katanya.
Beliau menambah, pembangkang seharusnya berlawan secara sihat, bukan dengan menabur fitnah dan menjatuhkan reputasi pemimpin yang berkhidmat.
Jepinus turut memberi amaran keras kepada pihak yang menyebarkan berita palsu supaya berhenti mencetuskan kebencian dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau portal yang terus menyebar fitnah terhadap Limus. Rakyat Kuala Penyu sudah muak dengan politik kotor gaya pembangkang.
“Kalau pembangkang fikir mereka boleh menang dengan menipu rakyat, mereka silap besar. Kuala Penyu bukan gelanggang untuk politik putar belit,” katanya.
Dalam pada itu, Jepinus turut mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu serta laman sesawang yang menyebarkan berita palsu dan fitnah berkaitan Limus.
“SKMM perlu bertindak tegas. Jangan biarkan laman fitnah terus menabur racun dalam masyarakat. Tindakan segera penting bagi memastikan media sosial tidak disalah guna untuk tujuan politik jahat,” katanya.
Katanya, Gagasan Rakyat Kuala Penyu akan terus memantau perkembangan itu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan politik Sabah kekal bersih, matang dan berteraskan fakta, bukan dengan fitnah. – Info X