Search

BBP KK, Putatan terima sumbangan peralatan CSR syarikat swasta

October 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Keprihatinan sebuah syarikat tempatan terhadap tugas dan tanggungjawab pasukan bomba dizahirkan menerusi penyerahan sumbangan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu serta BBP Putatan, baru-baru ini.

Inisiatif oleh Syarikat Sparkle Shine Sdn Bhd itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan bagi menyokong kesiapsiagaan dan perkhidmatan bomba kepada masyarakat.

Sumbangan yang disalurkan merangkumi peralatan menyelamat termasuk satu unit chainsaw Stihl Heavy Duty serta pelbagai kelengkapan sokongan lain untuk kegunaan operasi dan aktiviti komuniti bomba.

Pengurus syarikat, Amelson Ng berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyalurkan bantuan kepada jabatan yang sentiasa berada di barisan hadapan membantu orang awam tanpa mengira waktu dan keadaan.

“Selain sebagai usaha CSR syarikat, sumbangan ini juga adalah simbol penghargaan masyarakat terhadap jasa dan pengorbanan pasukan bomba.

“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat memberi manfaat besar kepada semua,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menyokong inisiatif yang membawa impak positif kepada keselamatan komuniti dan kesejahteraan awam.

Amelson (dua dari kiri) ketika melakukan lawatan ke BBP Kota Kinabalu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan BBP Zon Kota Kinabalu, Penolong Pengusaha Bomba, Riki Mohan Singh Ramday merakamkan penghargaan kepada Syarikat Sparkle Shine Sdn Bhd atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan kepada jabatan berkenaan.

“Sumbangan ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan operasi bomba, tetapi turut memperkukuhkan program pembelajaran komuniti melalui Community Fire Learning Center (CFLC) di Balai Bomba Penyelamat Putatan,” katanya.

Riki Mohan turut menyatakan harapan agar hubungan baik dan semangat kerjasama antara bomba dan sektor swasta akan terus terjalin demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat. – Info X