KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah akan mengemukakan 81 peratus calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Mengumumkan perkara itu, Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia termasuk 50 peratus calon dalam kalangan anak muda.
Katanya, BN menyasarkan 48 kerusi yang merangkumi UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), manakala selebihnya diserahkan kepada Pakatan Harapan (PH).
“Saya ingin memaklumkan hampir 81 peratus adalah calon muka baharu dan anak-anak muda untuk BN menghadapi PRN17 Sabah dengan kerjasama PH untuk mengekalkan kestabilan politik di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media BN Sabah, di sini, malam ini.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, UMNO dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya menghadapi PRN17.

“Kita dalam ‘mood’ bersiap siaga sepenuhnya dan bersemangat 100 peratus untuk berhadapan dengan PRN17 dan kita telah mengarahkan seramai 614,994 ahli UMNO di seluruh Sabah dan daripada jumlah itu seramai 474,252 orang adalah ahli UMNO yang boleh mengundi.
“Kita akan mengumumkan kerusi dan senarai calon satu minggu sebelum penamaan calon dan pada ketika itu juga kita akan melancarkan jentera pilihan raya BN.
“Kita juga akan melancarkan janji tawaran baharu kita iaitu rancangan pembangunan Sabah 1 kepada rakyat negeri Sabah.
“Bermacam-macam tawaran kita buat, tawaran-tawaran baharu kepada rakyat negeri Sabah untuk kita memperbetulkan ekonomi dan juga masa depan hidup rakyat negeri Sbah termasuk anak-anak muda,” katanya.
Sementara itu, Bung Moktar berkata, jika BN kembali membentuk kerajaan, tiga masalah serangkai iaitu air, elektrik dan jalan raya akan diberi keutamaan.
Katanya, isu air akan diselesaikan dalam masa tiga tahun, manakala masalah jalan raya dan elektrik akan diselesaikan secara ‘straight forward’.
Bung Moktar berkata, dalam manifestonya nanti, BN Sabah antara lain akan menggariskan pendidikan percuma kepada anak Sabah hingga ke universiti dan menubuhkan tabung kemakmuran negeri yang mengutamakan masa depan rakyat Sabah. – Info X