Search

Warga emas melecur dalam kebakaran tiga rumah pekerja

October 14, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang warga emas berusia 68 tahun melecur selepas tiga rumah pekerja musnah dalam kebakaran di kawasan perumahan pekerja KLK Minat Teguh, Batu 23, di sini, malam tadi.

Mangsa dilaporkan melecur pada bahagian tangan dan belakang badan sebelum diberi rawatan awal oleh pasukan bomba dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jimmy Lagung berkata, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan, jam 8.55 malam.

Katanya, kebakaran melibatkan tiga rumah pekerja jenis tidak kekal serta satu rumah empat pintu yang semuanya terbakar 100 peratus.

“Selain itu, sebuah kereta jenis Proton Saga turut musnah terbakar sepenuhnya.

“Mangsa yang melecur diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenderaan yang musnah dalam kebakaran di kawasan perumahan pekerja KLK Minat Teguh, Batu 23, Sandakan.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran salur bantu mula daripada dua jentera secara ofensif dengan sumber air diperoleh daripada jentera dan water tanker.

“Api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 10 malam dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.33 malam.

“Tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan, manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X