KOTA KINABALU: Inisiatif kerajaan negeri menubuhkan badan Pemikir Muda Ketua Menteri yang memberi peluang kepada anak muda menyumbang idea untuk kebaikan negeri disifatkan sebagai pengiktirafan besar kepada golongan berkenaan.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan, berkata badan itu yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor adalah landasan terbaik mereka menyumbang secara terus kepada negeri.
Katanya, ia umpama ‘laluan pintas’ untuk belia Sabah terbabit secara langsung dalam penggubalan dasar dan polisi pembangunan negeri.
Beliau berkata, platform yang bakal dipelopori golongan intelektual anak muda Sabah itu akan memainkan peranan sebagai pengkaji dan penasihat kepada Ketua Menteri dalam penggubalan dasar dan polisi pembangunan belia Sabah.
“Jurang komunikasi dan kekurangan saluran rasmi untuk belia dalam pembentukan dasar sebelum ini menyebabkan dasar sedia ada dilihat kurang relevan dengan keperluan generasi baharu.
“Anak muda sering merasakan pandangan mereka hanya didengar di forum tetapi jarang diangkat secara terus untuk membentuk dasar dan perancangan negeri.

“Akibatnya, dasar sedia ada berisiko menjadi kurang relevan dengan keperluan sebenar generasi baharu. Jadi, penubuhan Pemikir Muda Ketua Menteri menyediakan platform sebagai saluran terus kepada kepimpinan tertinggi negeri,” katanya.
Abqaree berkata, badan pemikir itu bukan sekadar tempat untuk bersuara, tetapi sebuah mekanisme rasmi untuk setiap kritikan, cadangan dan idea inovatif anak muda diperhalusi serta diterjemahkan menjadi dokumen dasar yang nyata.
“Ia memberikan rasa pemilikan kepada belia dalam hala tuju negeri di bawah kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Mengenai penubuhan Majlis Tindakan Belia Sabah (MTBS) pula, Abqaree berkata badan itu memainkan peranan penting bagi menyelesaikan isu pertindihan program, kekurangan koordinasi dan ketidakberkesanan program pembangunan belia di Sabah secara menyeluruh.
“Sebelum ini walaupun terdapat banyak usaha dari pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) belia, pelaksanaan program sering kali bersifat ‘ad hoc’ dan kurang bersepadu.
“Ini mengakibatkan sumber terpecah dan gagal untuk mencapai kelompok belia secara inklusif, terutamanya dalam menangani isu kebolehpasaran pekerjaan dan kemahiran.
“Jadi, MTBS akan berfungsi sebagai badan pelaksana dan penyelarasan yang inklusif. Inilah payung yang diperlukan untuk menyatukan semua inisiatif pembangunan belia di bawah satu gerak kerja yang berorientasikan impak,” katanya.
Langkah itu, katanya dapat memastikan setiap program latihan kemahiran, keusahawanan dan kesejahteraan belia diagih serta dilaksanakan secara strategik, dari bandar hinggalah ke kawasan pedalaman.
Sabtu lalu, Hajiji mengumumkan dua inisiatif baharu bagi menambah baik program pembangunan belia yang lebih berimpak besar kepada anak muda di Sabah iaitu penubuhan Pemikir Muda Ketua Menteri dan Majlis Tindakan Belia Sabah.
Inisiatif itu diumum Hajiji pada Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Belia Sabah (MBS). – Info X