Search

PRN17: Gagasan Rakyat Sindumin mahu Dr Yusof pertahan kerusi untuk GRS

October 14, 2025

Info X Reporters

SIPITANG: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sindumin mahu penyandang kerusi DUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dicalonkan semula mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17.

Setiausaha Gagasan Rakyat Sindumin, Alfred Daniel @ Stanley, berkata kerusi itu mesti kekal ditandingi GRS berdasarkan kedudukan penyandangnya selaku pemimpin dalam gabungan berkenaan.

Katanya pendirian Gagasan Rakyat Sindumin itu diputuskan sebulat suara pada mesyuarat bahagian itu semalam melibatkan pemimpin, ahli jawatankuasa serta mendapat sokongan seluruh ahli Gagasan Rakyat Sindumin.

“Kami berdiri teguh menyatakan bahawa kerusi DUN N35 Sindumin mesti ditandingi oleh GRS tanpa sebarang kompromi atau campur tangan luar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mesyuarat itu juga secara sebulat suara menyokong Dr Yusof sebagai calon GRS bagi kerusi itu berdasarkan rekod cemerlang dan komitmen beliau terhadap kepentingan rakyat setempat.

“Dr Yusof telah membuktikan kepimpinan yang berjiwa rakyat dan sentiasa mendahulukan komuniti Sindumin. Kami yakin beliau adalah calon terbaik untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik di kawasan ini,” katanya.

Alfred berkata, akar umbi Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin menolak sebarang cubaan untuk membawa calon luar atau parti lain bertanding di kerusi berkenaan.

“Sindumin bukan medan percubaan. Akar umbi sudah lama bersama GRS dan kami akan pertahankan kerusi ini habis-habisan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin kekal bersatu, tidak goyah dan tidak akan berundur dalam perjuangan mempertahankan hak GRS di DUN Sindumin.

“Ini keputusan akar umbi, ini suara rakyat Sindumin,” katanya.

Sebelum ini, timbul spekulasi mengatakan kerusi DUN Sindumim bakal ditandingi Pakatan Harapan (PH) dari PKR dengan calonnya dikatakan bekas Ahli Parlimen Sipitang. – Info X