TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes mendatangkan kecederaan di Flat Sri Titingan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan anggota Pondok Polis Titingan ketika rondaan kira-kira jam 3.20 petang selepas menerima laporan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, suspek ditangkap selepas anggota polis memperkenalkan diri dan hasil pemeriksaan tidak menemui sebarang barang salah, namun MyKad yang digunakan disahkan miliknya.
Katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut.
“Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Jasmin menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam sebarang perselisihan faham, sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X