Search

PRN17: Agihan kerusi GRS-PH sudah dimuktamadkan

October 14, 2025

Info X Reporters

TAMBUNAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan agihan kerusi masing-masing yang akan diketahui pada hari penamaan calon PRN17.

Perkara itu dijelaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditemui selepas menjnjau Sekolah Agama Negeri (SAN) Tambunan, di sini, pada Selasa

“Ya, kami sudah tahu (tapi) saya tidak boleh umumkan sekarang. Tunggu saja pada hari penamaan calon dan anda akan tahu bilangannya,” katanya.

Pengerusi GRS itu berkata demikian ketika ditanya sama ada GRS dan PH sudah mencapai keputusan mengenai pembahagian kerusi PRN17.

Hajiji turut memaklumkan bahawa GRS akan melancarkan manifestonya selepas hari penamaan calon nanti.

“Kami akan menawarkan yang terbaik kepada rakyat Sabah,” katanya.

Hajiji menyatakan keyakinannya bahawa mandat rakyat akan dikembalikan kepada GRS-PH berdasarkan rekod cemerlang pentadbiran selama lima tahun.

“Kami telah mencapai banyak kejayaan melalui pelbagai program sosioekonomi untuk rakyat. Kami telah membawa pelaburan berimpak tinggi bagi merancakkan pembangunan ekonomi Sabah.

“Kami telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion untuk inisiatif pembangunan modal insan. Kami juga memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada golongan miskin tegar dalam senarai e-Kasih.

“Kami turut mencatat kejayaan dalam industri minyak dan gas. Pembangkang cuba menafikan kejayaan ini, tetapi saya percaya rakyat kini matang dan akan menghargai pencapaian kami,” katanya.

Hajiji turut menyatakan bahawa PRN17 akan lebih meriah dengan banyak parti politik mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding.

“Marilah kita meraikan demokrasi,” katanya. – Info X