Search

Madius minta KKDW selesai isu air, jalan raya dan jambatan luar bandar di Tuaran

October 15, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diminta memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah bekalan air terawat, jalan raya dan jambatan luar bandar yang masih membelenggu rakyat di kawasan ini.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau berkata, hampir setiap kampung dan pekan di daerah ini berdepan masalah bekalan air terawat, manakala banyak jalan luar bandar masih tidak berturap dan sukar dilalui.

“Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli sahaja, kita memerlukan naik taraf loji dan pemasangan paip baharu di empat lokasi iaitu Penimbawan, Lok Nunuk, Sambah dan Baru-Baru bagi menstabilkan bekalan air terawat,” katanya.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Belanjawan 2026 pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.

Madius berkata, cadangan projek Loji Air Terawat Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Penimbawan-Lok Nunuk-Sambah-Baru-Baru dengan kapasiti empat juta liter sehari (MLD) sudah dipersetujui KKDW, namun kapasiti itu perlu ditingkatkan bagi menampung permintaan di kawasan sekitar.

“Reserve margin bekalan air di sekitar Topokon–Tenghilan kini berada pada paras negatif 12 MLD. Saya memohon agar KKDW mempertimbangkan pembinaan loji dengan kapasiti 16 MLD supaya bekalan air terawat dapat menyelesaikan masalah di kawasan sekitar Tenghilan juga, dan bukan hanya tertumpu di Penimbawan–Baru-Baru–Sambah semata-mata,” katanya.

Madius turut menarik perhatian terhadap pembatalan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Terawat Kapa–Sinalapak akibat bantahan penduduk setempat di Kadamaian, Kota Belud.

“Projek ini sepatutnya membekalkan air terawat kepada lebih 10 kampung dan 10 sekolah rendah di kawasan berkenaan. Oleh itu, saya berharap keperluan ini dapat dimasukkan dalam Rancangan Naik Taraf Loji Rawatan Air Terawat Bayayat di Kadamaian berkapasiti 34 MLD,” katanya.

Selain isu air, Madius turut menegaskan bahawa kawasan Parlimen Tuaran masih mempunyai 44 jalan luar bandar dengan panjang keseluruhan 165 kilometer yang perlu dinaik taraf kepada jalan berturap.

“Dengan anggaran kos RM2 juta bagi setiap kilometer, kawasan ini masih memerlukan sekurang-kurangnya RM330 juta untuk kerja-kerja naik taraf tersebut.

“Keperluan ini amat mendesak kerana keadaan jalan yang berlubang-lubang dan sukar dilalui menjejaskan pergerakan rakyat serta aktiviti ekonomi tempatan,” katanya. – Info X