KOTA KINABALU: Seorang penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) menolak tanggapan masalah yang dihadapi Sabah selama ini berpunca daripada kehadiran parti luar.
Penyelidik Kajian Pilihan Raya dan Geopolitik Borneo (GeoPES) UMS, Dr Haryati Abdul Karim, berkata masalah utama di Sabah ialah aspek pembangunan yang menyaksikan Sabah ketinggalan berbanding negeri lain.
Katanya, parti lokal berbanding parti luar bukan persoalan utama dihadapi Sabah, sebaliknya lebih kepada soal kepimpinan yang berani dan komited melaksanakan pembangunan.
“Persoalannya, adakah soal parti lokal vs parti luar itu adalah sebenarnya masalah dan isu utama yang dihadapi oleh Sabah?
“Jawapannya adalah Tidak. Persoalan yang sebenar ialah yang menghantui rakyat Sabah adalah masalah pembangunan infrastruktur dan pembangunan lain yang menjejas kualiti hidup rakyat Sabah.
“Bermula dengan masalah infrastruktur yang masih membelenggu rakyat Sabah yang memerlukan penyelesaian segera. Masalah gangguan bekalan air, elektrik dan keadaan jalan-jalanraya yang berlubang masih berlaku di seluruh Sabah dan menghantui kehidupan penduduk di negeri ini.
“Dari segi sosio-ekonomi, kadar kemiskinan mutlak dan relatif di negeri masih berada dalam angka dua digit,” katanya dalam artikelnya bertajuk ‘Undi parti lokal, tolak parti luar? Pengundi Sabah perlu bijak memilih’.
Beliau berkata tahap pendapatan rakyat Sabah yang rendah dengan 30.8 peratus isi rumah mencatat pendapatan bulanan antara RM2,000 – RM3,999 manakala golongan berpendapatan bulanan antara RM10,000-RM11,999 hanya 5.3 peratus seperti Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah oleh Jabatan Perangkaan 2024 juga antara isu yang dihadapi.
“Oleh sebab itulah, apabila program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 diumumkan, rakyat Sabah merekodkan 98 peratus penggunaan bantuan tersebut berbanding negeri-negeri lain.
“Hakikatnya, harga barang seperti makanan di Sabah jauh lebih tinggi berbanding negeri lain di Malaysia.
Peluang pekerjaan untuk graduan masih terhad hingga menyebabkan ramai graduan Sabah terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur dan negeri lain untuk mencari rezeki sesuai dengan kelayakan mereka.
“Dari segi sistem pengangkutan awam, sudah tiba masanya ianya dimajukan. Ini kerana sehingga kini, Sabah belum ada sistem pengangkutan awam yang efisyen dan bersepadu seperti di Kuala Lumpur seperti komuter yang dapat menghubungkan penduduk luar bandar ke bandar,” katanya.
Katanya, pengundi muda juga menanti-nanti apa yang dapat ditawarkan oleh pihak yang bakal bertanding pada pilihan raya nanti untuk meningkatkan kualiti hidup mereka seperti langkah menaikkan tahap pendapatan mereka yang bekerja di Sabah.
Jelasnya, jika dilihat ucapan yang dibuat oleh setengah parti lokal, belum ada yang benar-benar menawarkan visi dan misi mengenai hala tuju masa depan negeri Sabah.
“Pada dasarnya, Sabah mempunyai potensi untuk berkembang menjadi sebuah negeri yang kaya dan maju. Oleh itu, apa yang rakyat Sabah benar-benar perlukan sekarang ialah kepimpinan yang mempunyai visi dan misi yang jelas terhadap hala tuju Sabah yang pragmatik, berani dan yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.
“Oleh itu, naratif undi parti lokal, tolak parti luar itu tidak begitu relevan apalagi slogan Sabah for Sabahan buat rakyat Sabah pada masa kini.
“Justeru, pengundi Sabah harus bijak memilih dan bersikap pragmatik dalam pilihanraya negeri yang akan diadakan. Ini kerana mereka sudah merasai pentadbiran di bawah parti lokal sepenuhnya, parti nasional dan gandingan parti lokal-nasional,” katanya.
Beliau berkata, pengundi Sabah tidak boleh memilih atas dasar sentimen semata-mata, sebaliknya menjelang PRN17, mereka harus memilih mana yang dapat menawarkan pakej pembangunan yang realistik, bersifat solusi dan inklusif hingga berjaya mengangkat Sabah menjadi negeri yang progresif dan makmur tanpa menjejas hubungannya dengan kerajaan Persekutuan.
Terdahulu, Haryati berkata menjelang PRN17, pengundi Sabah sekali lagi disajikan dengan naratif anti-parti luar atau lebih tepat parti Malaya di media massa dan media sosial yang bingkainya sama tetapi pengisian sahaja berubah.
Sebelum ini, katanya slogan Sabah for Sabahan dilaung-laungkan pada pilihan raya negeri yang lalu tetapi kurang mendapat sambutan.
“Kali ini, taktik menggunakan sentimen anti-parti luar ini dicanang sekali lagi oleh laskar siber parti-parti lokal dengan menggunakan naratif undi parti lokal bermakna undi ke arah autonomi, bebas dari ditadbir parti luar, bebas menentukan hala tuju negeri Sabah.
“Begitu kuat semangat anti-parti luar sehingga menyebabkan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) memilih untuk keluar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan tindakan itu dikatakan terkait dengan isu parti lokal vs luar yang mana mereka menuntut agar lebih banyak kerusi diberi kepada parti lokal berbanding parti luar,” katanya. – Info X