KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak mengaku marah dan menjerit ‘bodoh, sial’ apabila lencana Jalur Gemilang miliknya ditemui dalam beg Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada malam 15 Julai lalu.
Saksi kanak-kanak ke-14 inkues kematian Allahyarham Zara itu memberitahu Mahkamah Koroner, bahawa lencananya ditemui pelajar junior yang membuat pemeriksaan ke atas beg arwah ketika pelajar senior menyoal arwah di bilik lain berhubung kehilangan barang pelajar.
Peguam mewakili ibu arwah, Shahlan Jufri, berkata saksi ke-23 inkues itu mengesahkan bahawa pada malam 15 Julai lalu arwah Zara disoal oleh beberapa pelajar senior mengenai kes kecurian dompet, kad ATM, wang tunai dan pin Jalur Gemilang kepunyaan saksi.
Katanya, saksi berkenaan memberitahu mahkamah bahawa arwah disoal selepas ada pelajar junior di biliknya pada kira-kira jam 10 malam, 15 Julai lalu mengadu mengenai kehilangan kad ATM dan wang tunai RM300 milik pelajar itu dan mengesyaki arwah Zara mencurinya.
“Saksi juga berkata ada pelajar junior lain minta izin untuk buat ‘spot check’ terhadap ‘locker’ dan beg Zara. Saksi kemudian diberitahu oleh seorang pelajar junior yang terlibat dalam ‘spot check’ bahawa mereka menemui pin bendera di dalam beg Zara tetapi saksi tidak memastikan sama ada pin itu sememangnya dijumpai di beg Zara atau tidak.
“Kemudian, saksi ini membawa pin bendera yang dijumpai pelajar junior itu ke bilik sebelah untuk berjumpa Zara. Ketika saksi masuk di bilik itu, ada lima hingga enam orang pelajar dalam bilik bersama Zara.
“Saksi berkata dia cuma bertanya Zara mengenai pin bendera kepada Zara dan bukan mengenai tuduhan kehilangan barang pelajar junior lain. Saksi berkata Zara menafikan tuduhan mengenai kecurian pin bendera itu.
“Saksi mengakui dia memang marah pada ketika itu dan menjerit ‘bodoh, sial’. Apabila arwah Zara tidak mengaku, saksi kemudian keluar dari bilik itu dan memanggil seorang rakannya untuk ikut bertanya kepada Zara,” katanya selepas selesai prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini, pada Rabu.
Katanya, ketika itu saksi memberitahu mahkamah ada lebih kurang lima pelajar bertanyakan soalan secara bergilir-gilir kepada arwah Zara mengenai kehilangan barang dan pin bendera saksi.
Saksi katanya cuma bertanya mengenai pin benderanya dan mengaku sekali lagi menjerit ‘bodoh, sial’, manakala kawan saksi yang lain juga bertanya kepada
arwah Zara berhubung kes kehilangan barang terbabit.
“Selepas ditanya beberapa soalan secara bergilir-gilir, saksi menyatakan Zara masih tidak mengaku apa-apa. Saksi berkata tempoh mereka bertanya kepada Zara tidak sampai sejam.
“Selepas saksi dan pelajar lain selesai menyoal Zara, saksi dan rakan-rakannya meninggalkan bilik terbabit dan tidak lama kemudian, saksi berada di biliknya sendiri di dan melihat arwah Zara masuk dalam bilik sebelum baring di lantai,” katanya. – Info X