Search

Stor simpanan minyak subsidi diserbu, 6 individu ditahan, nilai rampasan RM615,920

October 15, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel subsidi selepas menyerbu sebuah stor di Kampung Pasir, di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 10.30 malam itu, enam individu terdiri daripada lima warga tempatan dan seorang warga asing ditahan.

Turut dirampas pelbagai peralatan dan kenderaan termasuk sebuah lori tangki, tiga kenderaan, satu skid tank, tiga tangki fiber serta kira-kira 14,000 liter minyak diesel dengan nilai keseluruhan RM615,920.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan Unit Risikan Marin.

“Stor berkenaan dipercayai dijadikan tempat penyimpanan serta pemindahan minyak diesel subsidi yang diseleweng untuk keuntungan tidak sah.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, PPM Wilayah 4 akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan hasil negara.

“Tumpuan turut diberikan kepada kawasan perairan serta lokasi strategik di Sabah bagi memastikan kegiatan haram itu dapat dibanteras sepenuhnya.

“Kami juga mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
PPM komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X