Search

Bomba selamatkan kanak-kanak perempuan terkunci dalam kenderaan

October 16, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang terkunci di dalam kereta di kawasan parkir kedai MR DIY, Jalan Kastam Lama, di sini, semalam.

Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri ketika kejadian sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu tiba di lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.56 petang.

Ketua BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, sebaik tiba pasukan mendapati kenderaan Isuzu D-Max terkunci dengan kanak-kanak berada di tempat duduk belakang tidak sedarkan diri.

“Pasukan bomba kemudian bertindak memecahkan cermin kenderaan bagi mengeluarkan mangsa dengan segera.

“Mangsa selamat dan kemudiannya dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi membabitkan tujuh anggota dengan kekuatan dua jentera, ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.25 petang. – Info X