Search

10 individu terima notis KKM kerana merokok di restoran

October 16, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tindakan 10 individu yang tidak mematuhi arahan larangan merokok di kawasan kedai makan membawa padah selepas diberi notis oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook memaklumkan sebanyak 10 notis kesalahan dikeluarkan dalam Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang dijalankan mengikut Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), semalam.

“Operasi yang melibatkan 10 anggota penguat kuasa itu dilaksanakan di kawasan Pekan Menggatal dan Inanam Capital, meliputi 31 premis terdiri daripada 30 tempat makan serta sebuah kedai khas.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelanggaran arahan larangan merokok dan 10 notis Seksyen 47 dikeluarkan, masing-masing lapan mengikut Seksyen 16(2)(4) dan dua mengikut Seksyen 18(1)(a), atas kesalahan merokok di kawasan larangan merokok, khususnya di premis makanan,” katanya.

Menurutnya, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta 852 serta melindungi kesihatan awam daripada bahaya produk merokok.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mematuhi larangan merokok di kawasan yang diwartakan.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, pasukan penguat kuasa Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu turut menjalankan Operasi Bersih mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 pada 15 Oktober lalu di Citymall Shopping Mall.

Operasi yang melibatkan sembilan pasukan dengan kekuatan 30 pegawai itu memeriksa 25 premis makanan di sekitar pusat beli-belah berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati 11 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 termasuk Peraturan 11(1)(a), 33(1)(a), 32(1)(b) dan 38(1)(c).

Antara kesalahan dikesan ialah pengendali makanan tidak mempunyai suntikan anti-tifoid, tidak menghadiri kursus pengendali makanan, gagal memakai topi, kasut dan apron semasa bekerja, selain keadaan premis yang tidak bersih serta berpotensi menyebabkan pencemaran makanan.

Pejabat Kesihatan menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan di premis makanan sentiasa berada pada tahap memuaskan demi kesejahteraan pengguna. – Info X