KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia terdengar bunyi sesuatu yang jatuh sebelum terbangun dari tidur pada kira-kira jam 3 pagi 16 Julai lalu.
Peguam mewakili ibu arwah, Shahlan Jufri, berkata saksi kanak-kanak ke-15 itu adalah individu pertama menjumpai arwah Zara dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya.
Katanya, ketika itu, saksi bangun untuk melakukan aktiviti rutin membasuh pakaian, menyeterika pakaian dan mengumpul air untuk mandi sebelum ke musollah menunaikan solat Subuh berjemaah.
Saksi itu katanya mengaku terdengar bunyi jatuh tetapi kurang pasti kerana dalam keadaan ‘mamai’ sebelum bangun dan turun dari aras dua bilik asramanya untuk menggunakan mesin basuh di tingkat bawah.
“Pada awal pagi 16 Julai 2025 sekitar jam 3 pagi, saksi berkata dia adalah pelajar pertama yang melihat seorang pelajar perempuan terbaring tidak sedarkan diri di kawasan longkang aras bawah blok asrama ketika dia menuruni tangga untuk menggunakan mesin basuh.
“Saksi berkata memang sudah menjadi rutin harian dia untuk bangun awal jam 3 pagi dengan bantuan jam loceng untuk urusan dobi menggunakan mesin basuh, menyeterika dan membuat takungan air untuk mandi. Biasanya saksi akan mandi, kemaskan diri dan bersiap awal ke musollah.
“Saksi berkata seingatnya, ketika tidur dia ada mendengar bunyi seperti benda jatuh sebelum dia bangun pada jam 3 pagi, tetapi dia tidak berapa pasti mengenai perkara itu kerana masih dalam keadaan mamai.
“Selepas saksi bangun, saksi ada mengejutkan seorang kawan bilik yang ingin bangun awal bersama saksi untuk seterika pakaian sebelum dia ke tandas aras dua untuk membuat takungan air mandian,” katanya selepas selesai prosiding, pada Khamis.
Katanya, saksi memberitahu mahkamah bahawa dia berada dekat tangga aras bawah apabila ternampak seorang pelajar perempuan terbaring berhampiran longkang.
Bagaimanapun, katanya pada pagi kejadian, saksi tidak memakai cermin mata menyebabkannya tidak dapat melihat dengan jelas pelajar yang terbaring itu dan tidak mengenalinya.
“Saksi menyatakan keadaan pelajar itu seperti pengsan dan dia memanggil pelajar itu, ‘bangun, bangun’ kerana tidak mengecam arwah Zara Qairina pada ketika itu.
“Selepas itu, saksi berkata dia terus ke pondok pengawal yang terletak di blok asrama sebelah untuk panggil pengawal keselamatan yang dikenali sebagai ’Aunty Linah’.
“Ketika Aunty Linah datang bersama saksi ke tempat kejadian, saksi berkata Aunty Linah terkejut dengan apa yang terjadi dan terus mengecam serta memberitahu saksi bahawa pelajar yang terbaring itu adalah Zara,” katanya.
Selepas itu, katanya saksi diminta oleh Aunty Linah untuk mengambil telefon di pondok pengawal supaya dapat mengambil gambar dan membuat panggilan untuk mendapatkan pertolongan cemas.
Saksi berkenaan katanya menyifatkan keadaan arwah Zara pada masa itu ‘macam susah bernafas’ tetapi tidak perasan jika ada keadaan luka dan berdarah atau tidak.
Selain saksi ke-15, seorang lagi saksi kanak-kanak iaitu turut memberi keterangan hari ini, tapi belum selesai.
Shahlan dibantu peguam Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James. – Info X