Search

Keputusan Mahkamah Tinggi bersejarah untuk Sabah – PBS

October 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil bersih persekutuan mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata keputusan bersejarah itu mengesahkan tanggungjawab perlembagaan dan moral Kerajaan Persekutuan untuk menunaikan apa yang dipersetujui di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta asas penubuhan Persekutuan Malaysia.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada SLS atas ketegasan serta keberanian membawa isu itu ke mahkamah.

“PBS mengucapkan syabas kepada SLS kerana mempertahankan hak rakyat Sabah dengan penuh dedikasi.

“Keputusan ini bukan saja kemenangan dari segi undang-undang, tetapi juga kemenangan untuk semangat keadilan, kesaksamaan dan rakan kongsi sejati seperti yang dijanjikan dalam MA63,” katanya.

Dr Joachim menegaskan bahawa keputusan itu membuktikan apa yang sudah lama diperjuangkan oleh rakyat Sabah, bahawa hak 40 peratus bukanlah keistimewaan, tetapi hak perlembagaan yang dijamin kepada Sabah.

“Selama hampir lima dekad, hak ini telah diabaikan dan ditangguhkan. Kini tiba masanya untuk memperbetulkan kealpaan sejarah ini dan melaksanakan janji perlembagaan yang termaktub,” katanya.

PBS turut menyeru Kerajaan Persekutuan agar mematuhi sepenuhnya perintah Mahkamah untuk memulakan semakan dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam tempoh 180 hari berhubung jumlah hasil bagi tahun 1974 hingga 2021.

“Perintah mahkamah ini mesti dihormati tanpa sebarang alasan atau penangguhan. Keadilan yang ditangguh adalah keadilan yang dinafikan,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa isu itu melangkaui sempadan politik dan seharusnya menyatukan semua pemimpin Sabah dalam mempertahankan hak negeri dari segi perlembagaan dan kewangan.

“PBS sejak dahulu lagi konsisten memperjuangkan pemulihan hak-hak Sabah di bawah MA63. Keputusan ini adalah langkah penting ke arah mengembalikan keseimbangan dalam Persekutuan Malaysia,” katanya. – Info X