KOTA KINABALU: UMNO Sabah mendesak Pejabat Peguam Negara (AGC) supaya tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam dalam keputusan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata rayuan seperti itu hanya akan menambah luka lama dan menjejaskan semangat kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Jelasnya, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan mahkamah dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap Sabah.
”Sekiranya Peguam Negara tetap meneruskan rayuan, UMNO Sabah tidak akan berdiam diri. Kami akan mendesak Ahli Parlimen UMNO untuk membawa usul bantahan kepada Perdana Menteri supaya keputusan mahkamah ini dilaksanakan segera tanpa sebarang alasan.
“UMNO Sabah juga menggesa agar penaksir bebas dilantik segera untuk menilai jumlah sebenar hasil tertunggak sejak 1974. Langkah ini penting agar pengiraan dan pembayaran dibuat dengan adil, telus, dan selaras dengan semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam memerintahkan Kerajaan Persekutuan untuk membuat semakan semula bersama kerajaan Sabah berhubung kelayakan hasil 40 peratus yang sepatutnya diberi kepada Sabah mengikut perlembagaan.
Perintah itu selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid membenarkan semakan kehakiman difailkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) berkaitan hak perlembagaan Sabah untuk menuntut 40 peratus hasil bersih dikutip kerajaan Persekutuan dari negeri ini.
Semakan kehakiman itu difailkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada 2022.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, berkata UMNO Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menegaskan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih dikutip Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 112C dan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, keputusan berkenaan adalah kemenangan besar bagi rakyat Sabah setelah hak itu dinafikan sejak 1974.
Sementara itu, Bung Moktar merakamkan penghargaan kepada SLS atas keberanian dan ketekunan mereka membawa kes berkenaan ke mahkamah walaupun berdepan tekanan politik.
“Tindakan SLS membuktikan bahawa perjuangan menegakkan hak Sabah tidak boleh dikompromi,” katanya.
Perjuangan itu katanya sebelum ini menjadi lebih rumit apabila dilihat seolah-olah ada campur tangan Pejabat Peguam Besar Negeri (SAG) di Mahkamah Rayuan, yang jelas bertentangan dengan tuntutan rakyat.
Katanya, tindakan peguam yang dilantik kerajaan negeri pada ketika itu membuat penghujahan bahawa tuntutan hak 40 peratus hanyalah ‘aspirasi’ rakyat dan bukannya kewajipan perlembagaan yang mengikat sesuatu yang mengecewakan.
“Kenyataan yang jelas bercanggah dengan semangat MA63 ini mencetuskan kemarahan besar rakyat Sabah dan menunjukkan kegagalan awal kepimpinan negeri untuk mempertahankan hak ini secara berprinsip.
“Walaupun hujah itu akhirnya ditarik balik susulan tekanan awam, insiden ini tidak boleh dilupakan sebagai bukti betapa rapuhnya usaha mempertahankan hak perlembagaan Sabah.
”Rakyat Sabah sudah lama bersabar. Kini tiba masanya kita bersatu menuntut hak negeri ini seperti yang dijanjikan. Hak ini bukan hadiah tetapi janji perlembagaan yang mesti ditunaikan.
”Sabah tidak meminta lebih, kita hanya menuntut apa yang sudah dijanjikan,” katanya. – Info X