KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyifatkan slogan Sabah for Sabahan atau parti tempatan yang dilaungkan menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17) sebagai umpan politik.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata rakyat Sabah tidak boleh lagi terpedaya dengan slogan itu yang sering dibangkitkan ketika menjelang pilihan raya.
“Kalau benar mereka perjuangkan hak Sabah, mengapa wujud begitu banyak parti tempatan tetapi tidak satupun mampu bersatu?
“Hakikatnya mudah semua mahu berkuasa, bukan berkhidmat. Sehingga kini sekurang-kurangnya 10 parti tempatan Sabah yang diiktiraf secara sah pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
“Namun, masing-masing berebut kerusi dan pengaruh. Ini bukan perjuangan rakyat, ini perebutan kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Penyandang kerusi DUN Lamag itu mendakwa kerajaan GRS sendiri yang kononnya ‘parti tempatan’ gagal membela rakyat, malah dibelenggu video mencemarkan integriti pentadbiran negeri.
Katanya, slogan Sabah for Sabahan dan parti tempatan akhirnya hanya jadi perisai untuk menutup kelemahan dan tamak kuasa.
“UMNO BN Sabah berpendirian tegas kita tidak perlu 10 parti untuk perjuangkan Sabah, kita perlukan satu halatuju yang jujur, stabil dan berpaksikan rakyat.
“Cukuplah Sabah jadi mangsa slogan politik. Yang rakyat mahu bukan laungan kosong tetapi kepimpinan yang bersih, berani dan berkhidmat,” katanya. – Info X