RANAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 17, Jalan Ranau – Telupid, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu, mangsa berusia 21 tahun dari Kampung Lasing, Ranau, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, badan, tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, berkata siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dari arah Nalapak menuju ke Kampung Lasing.
“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai bertembung dengan bas ekspres yang datang dari arah bertentangan. Impak kuat perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak sejauh kira-kira 17 meter dari tempat kejadian.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, badan, tangan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Lohan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemandu bas ekspres tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau bagi tujuan bedah siasat.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tragis seumpama ini berulang. – Info X