KOTA KINABALU: Setahun selepas laluan baharu yang lebih mencabar dibuka, Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu Ke-32 mencatat pencapaian luar biasa dengan rekod baharu dilakar atlet antarabangsa.
Ghiano Gianluca dari Itali muncul juara Kategori Elit Lelaki dengan catatan masa 03:05.41, manakala Anastasiia Rubstova Yurievna dari Rusia dinobatkan sebagai juara Kategori Elit Wanita dengan masa 03:46.13.

Bagi Kategori Veteran Lelaki, atlet tempatan Daved Simpat dari Sabah, mengungguli saingan dengan catatan masa 03:50.50.
Gianluca menyifatkan perlumbaan kali ini amat menakjubkan dan berjalan lancar dengan keadaan cuaca sangat baik.

“Bahagian paling mencabar ialah beberapa kilometer terakhir di jalan raya, saya benar-benar perlu berusaha keras.
“Saya teringat idola saya yang pernah berlari di sini seperti Kilian dan Bruno Brunod. Kemenangan ini amat istimewa bagi saya kerana ia kali pertama saya bertanding di sini,” katanya.
Sementara itu, Anastasiia Rubstova berkata, beliau sangat gembira dengan perlumbaan kali ini dan mengagumi keindahan pemandangan dari puncak Gunung Kinabalu.

“Apabila sampai ke puncak gunung, pemandangan batu dan langit begitu indah. Ini kali pertama saya bertanding di Sabah dan pengalamannya luar biasa.
“Laluan ini sukar tetapi masih boleh diurus kerana saya telah meneliti trek GPS terlebih dahulu. Saya sangat menikmatinya. Saya sukakan ketinggian dan cabaran mendaki,’ katanya
Bagi juara Veteran Lelaki, Daved Simpat, beliau menyifatkan pengalaman bertahun-tahun menjadi kekuatan utama beliau.

“Saya benar-benar gembira dengan kemenangan ini. Kali ini lebih mencabar dengan penyertaan ramai pelari antarabangsa yang hebat.
“Saya banyak belajar daripada cara mereka mengurus stamina dan rentak larian. Pada usia 43 tahun, saya ingin berpesan kepada pelari lain, jangan sesekali berputus asa walau persaingan sengit. Terus berusaha, yakin diri dan kekalkan semangat terhadap sukan ini,” katanya.
Diiktiraf sebagai sebahagian daripada UNESCO Global Geopark, perlumbaan di Gunung Kinabalu itu melibatkan laluan sejauh 24.5 km, termasuk pendakian 12.25 km ke puncak setinggi 4,095.2 meter, diikuti dengan 12.25 km laluan turun yang teknikal.
Peserta berdepan cerun curam, laluan berbatu dan keadaan mencabar, menjadikan acara itu ujian sebenar terhadap ketahanan fizikal dan mental.
Edisi tahun ini menarik penyertaan daripada 27 negara, termasuk Malaysia, Jepun, Filipina, Singapura, Indonesia, Australia, Itali, Rusia, Amerika Syarikat dan banyak lagi.
Turut serta ialah pelari daripada siri Skyrunner® World Series, menjadikan pertandingan dalam kategori elit lebih kompetitif.

Acara dimulakan jam 6.30 pagi oleh Penolong Setiausaha Kanan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Hisham Ujang.
Climbathon itu bukan saja meraikan keunggulan atletik dan semangat kesukanan, tetapi turut menonjolkan keindahan Taman Kinabalu kepada dunia.
Perlumbaan tahun ini menampilkan tiga kategori utama iaitu Elit Lelaki, Elit Wanita dan Veteran Lelaki, dengan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai serta barangan penghargaan.
Edisi tahun ini adalah sebahagian daripada sirkit Skyrunning World Series, dengan pusingan akhir dijadual berlangsung di Sepanyol pada 8 November depan.
Ia juga menjadi acara yang diiktiraf oleh International Trail Running Association (ITRA), membolehkan pelari mengumpul mata rasmi selepas menamatkan perlumbaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffrey Jimit, berkata pihaknya sangat teruja melihat laluan baharu yang diperkenalkan tahun lalu terus mencabar atlet dengan cara yang segar.
“Pencapaian rekod mereka membuktikan potensi Gunung Kinabalu sebagai destinasi sukan bertaraf dunia.
“Melangkah ke hadapan, kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa edisi seterusnya Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu akan berlangsung pada 18 Oktober 2026.
“Ia bersempena dengan kempen ‘Explore Sabah’ dan ‘Visit Malaysia 2026’ oleh Lembaga Pelancongan Sabah dan Tourism Malaysia,” katanya.
Acara itu dianjurkan Lembaga Pelancongan Sabah melalui anak syarikatnya Sri Pelancongan Sabah, dengan kerjasama Taman-Taman Sabah (Sabah Parks).
Ia mendapat sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, sebagai sebahagian daripada persiapan menuju Kempen Visit Malaysia 2026.
Penganjuran itu turut disokong rakan strategik termasuk BigBigPlace, K2, Sutera Sanctuary Lodges, Truly Borneo Tours & Events, ALTRA, ZEAK, Evenesis (Teknologi Pendaftaran Acara), Arus Foods, dan Gretel (Teknologi Strategi Perlumbaan). – Info X