Search

PRN17: Shafie gagal pertahan hak wilayah laut Sabah – Armizan

October 21, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendakwa Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal gagal mempertahankan hak Sabah apabila Akta Laut Wilayah diluluskan pada 2012.

Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Ahli Parlimen Semporna itu hanya lantang bersuara di Parlimen setelah tidak berkuasa tetapi berdiam diri ketika berada dalam kerajaan Persekutuan pada masa itu.

Beliau merujuk ucapan Shafie di Parlimen pada 22 Julai lalu yang lantang menyatakan bahawa sebarang perkara yang menyentuh perubahan sempadan negeri perlu dipersetujui Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Tiba musim pilihan raya ini, saya bawa satu contoh perjuangan memelihara hak dan integriti sempadan negeri, iaitu isu penggubalan Akta Laut Wilayah 2012.

“Pada 22 Julai 2025 di Parlimen, Presiden Warisan, DSP Shafie Apdal ‘lantang’ bersuara bahawa sebarang perkara yang menyentuh perubahan sempadan negeri perlu dipersetuju DUN Sabah, sambil memetik peruntukan Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan. Memang hebat dan memang tepat!

“Tapi ironinya, di mana suara Shafie pada tahun 2012 ketika menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Kanan Kabinet Persekutuan?

“Mengapa beliau tidak tegas membangkitkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang sama bila Kerajaan Persekutuan pada masa itu membentangkan RUU Laut Wilayah.

“Adakah beliau bersuara di Parlimen dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada tahun 2012,” soalnya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, RUU Laut Wilayah yang menjadi Akta Parlimen dan berkuat kuasa pada 22 Jun 2012 menetapkan had hak dan kuasa sempadan maritim Sabah kepada hanya jarak sehingga tiga batu nautika.

Jelasnya, perubahan itu jelas mengubah sempadan asal maritim negeri sebagaimana yang termaktub dalam The North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council, 1954.

“Sekarang Kerajaan Negeri GRS yang tegas dengan pendirian, termasuk dizahirkan di DUN Sabah oleh YAB DSP Hajiji Haji Noor bahawa Sabah tidak menerima Akta Laut Wilayah 2012.

“Siapa terbukti tegas? Siapa terbukti gagal? Cakap tidak serupa bikin,” katanya.

Sebagai perbandingan, Armizan berkata GRS telah membuktikan perjuangannya ketika berkuasa.

“Pada tahun ini, hasil suara Kerajaan Negeri GRS + PH di Sabah dan Kerajaan GPS di Sarawak, Kerajaan Persekutuan bersetuju dan kemudiannya diluluskan di Parlimen bahawa Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 hanya terpakai untuk Semenanjung Malaysia dan WP Labuan, tidak di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Katanya, Warisan hanya membuat retorik untuk membina persepsi kononnya Kerajaan GRS gagal memelihara hak khazanah alam, minyak dan gas Sabah.

“Persepsi dibina tanpa bukti sahih. Retorik dilantun bahawa merekalah pejuang tegar hak dan kepentingan negeri,” katanya. – Info X