KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang wanita bagi membantu siasatan kes kecurian dompet milik seorang pelanggan di Pasaraya Emart Lintas Jaya, di sini, sebelum suspek menggunakan kad kredit mangsa untuk membeli kipas angin di premis sama.
Kejadian itu disedari mangsa selepas menyedari dompetnya hilang ketika sedang membuat pembayaran di kaunter bayaran pasaraya berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang membayar barangan di kaunter dan tidak menyedari dompet yang disimpan dalam beg sandang telah diambil individu tidak dikenali.
“Dompet berkenaan mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad kredit Public Bank dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM400.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang wanita mengambil dompet mangsa tanpa disedari sebelum menggunakan kad kredit berkenaan untuk membeli sebuah kipas angin dan membuat bayaran di kaunter aras satu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Orang awam yang mempunyai maklumat atau mengenali individu terlibat diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Kasim turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan menjaga barangan peribadi masing-masing ketika berada di tempat awam bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – Info X