Search

Tiga lagi ditahan kes pukul, acu samurai di Tawau

October 21, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan tiga lagi lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul menggunakan tali pinggang dan diacukan pedang samurai dalam kejadian di kawasan T2@Apas, Takada, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata penahanan terbaharu itu hasil siasatan ke atas dua suspek pertama yang ditahan minggu lalu, dipercayai terbabit dalam kejadian sama.

Katanya, hasil risikan dan maklumat diperoleh, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan tiga lelaki berusia 30 hingga 38 tahun di sekitar Pusat Komersial Ba Zhong, kira-kira jam 2 petang semalam.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat secara langsung dalam kejadian yang menyebabkan mangsa berusia 32 tahun mengalami luka di pipi kiri dan sakit di bahagian belakang badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar 12.30 tengah malam pada 11 Oktober lalu ketika mangsa berada di hadapan sebuah kedai snuker di T2 Takada.

Menurutnya, mangsa didatangi kira-kira lapan lelaki tidak dikenali bersenjatakan tali pinggang dan pedang samurai sebelum dipukul tanpa sebab yang jelas.

“Dua lelaki tempatan masing-masing berusia 22 dan 23 tahun ditahan pada 15 Oktober lalu dan seorang daripada mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Susulan siasatan lanjut, tiga lagi suspek ditahan termasuk seorang penjawat awam negeri, manakala dua daripadanya mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah berat dan dadah,” katanya.

Jasmin berkata, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu termasuk penjawat awam yang bertindak ganas serta mengancam keselamatan awam.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui sebarang kegiatan jenayah,” katanya. – Info X