Search

Selesaikan perintah Mahkamah Tinggi dalam tempoh ditetapkan – Warisan

October 21, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Pemimpin Parti Warisan menyatakan harapan agar kerajaan Persekutuan menyelesaikan perintah mahkamah berhubung semakan 40 peratus hasil Sabah dalam tempoh yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.

Timbalan Ketua Penerangan Warisan, Justin Wong, berkata harapan itu sebagai sokongan terhadap langkah Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraisah Munirah Majilis menulis surat kepada Parlimen untuk mengemukakan usul tergempar, baru-baru ini.

Usul itu katanya menyeru semua Ahli Parlimen di seluruh negara agar memberikan sokongan penuh terhadap keputusan kemenangan kes 40 peratus hasil bersih Sabah dan menggesa Kerajaan Persekutuan menghormati Sabah dan Perlembagaan Persekutuan, serta tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Justin berkata, berdasarkan video yang dimuat naik Isnaraisah, beliau memetik Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(1) dan mengemukakan usul tergempar kepada Setiausaha Parlimen bagi membolehkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dibahaskan di Parlimen.

“Dalam video itu, beliau menyatakan harapan agar perkara ini dapat dibahaskan dalam sidang Parlimen minggu ini. Beliau mahu semua Ahli Parlimen mengiktiraf keputusan Mahkamah Tinggi ini, kerana sudah tiba masanya untuk wakil rakyat melaksanakan apa yang termaktub dalam perjanjian asas pembentukan Malaysia.

“Saya juga berharap agar semua Ahli Parlimen menghormati Perlembagaan dan perjanjian penubuhan negara ini. Selepas keputusan Mahkamah Tinggi dibuat, kerajaan perlu menjalankan semakan dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari,” katanya.

Penyandang kerusi DUN Sri Tanjung itu menegaskan bahawa sama ada dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak, semua pihak perlu mengiktiraf kepentingan perjanjian berkenaan.

“Perjanjian ini melambangkan asas pembentukan Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, sama ada dari Barat mahupun Timur, kita semua berkongsi tanggungjawab untuk memastikan semua perkara yang termaktub dalam perjanjian ini dilaksanakan,” katanya.

Justin turut mengingatkan bahawa pada 2018, di bawah kepimpinan mendiang Datuk Liew Vui Keong, Parti Warisan pernah membentangkan usul untuk menyemak semula kedudukan perlembagaan Sabah dalam Persekutuan.

“Beliau adalah individu pertama yang mengambil inisiatif mempertahankan hak Sabah. Namun, malangnya usaha beliau tidak diberi perhatian sewajarnya oleh Ahli Parlimen lain dan akhirnya diketepikan,” katanya.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan semakan kehakiman yang difailkan Sabah Law Society (SLS) pada 2022 dan memerintahkan Kerajaan Persekutuan untuk menyemak 40 peratus hasil bersih Sabah bersama kerajaan negeri dalam tempoh 90 hari dan mencapai perjanjian dalam masa 180 hari. – Info X