KIULU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan tuduhan rasuah terhadap pemangku presiden dan timbalan presiden parti itu sebagai satu cubaan untuk membuat gangguan ketika Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17) semakin hampir.
Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pemangku presiden, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Timbalan Presiden, Datuk Jahid Jahim sudah menjelaskan perkara itu.
Joniston yang juga penyandang kerusi DUN Kiulu percaya pemimpin, ahli dan penyokong PBS di semua peringkat kekal berdiri teguh bersama parti itu.
“Bagi kita, ini (tuduhan rasuah) adalah agenda bermotifkan politik bertujuan untuk melemahkan parti dan kita mesti kekal fokus, tidak terganggu dengan dakyah itu,” katanya pada majlis bersama rakyat di Kampung Bambangan Lama, di sini, pada Isnin.
Berikutan itu, Joniston menggesa agar ahli PBS kekal fokus dan tidak goyah dengan dakwaan bermotif politik yang disasarkan terhadap pemimpinnya.
Katanya, pemimpin dan ahli PBS di peringkat akar umbi mesti kekal bersatu dan komited menjelang PRN17 yang dijadual pada 29 November depan.
Beliau menjelaskan bahawa PBS kekal mengutamakan nilai akauntabiliti, kejujuran dan ketelusan sebagai panduan perjalanan politiknya.
“Pihak tertentu mungkin cuba menggunakan isu ini sebagai senjata politik, tetapi PBS akan terus fokus terhadap perkara yang paling utama, iaitu berkhidmat kepada rakyat dan mendapatkan kepercayaan mereka,” katanya.
Jelasnya, PBS mengambil serius kepercayaan rakyat dan percaya bahawa keyakinan mesti diperolehi menerusi tindakan.
Tegasnya, PBS kekal komited untuk membuktikan perkara itu melalui integriti, perkhidmatan dan akauntabiliti.
Beliau menggesa ahli dan penyokong PBS kekal bersatu, berdisipilin dan fokus ke arah pilihan raya dengan memberi jaminan bahawa PBS komited memainkan peranan utama dalam memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapat mandat rakyat untuk terus memimpin Sabah.
PBS, katanya akan terus menjuarai kebajikan rakyat dan memastikan pembangunan dan peluang menjangkau setiap bahagian di Sabah di bawah pentadbiran GRS.
“Kita percaya rakyat akan menilai GRS berdasarkan bukti rekod pentadbirannya, bukan melalui pembohongan yang disebarkan pihak pembangkang.
“Fakta dan angka tidak menipu, di bawah GRS, Sabah merekodkan pendapatan dan rizab yang tertinggi, ia adalah bukti jelas kepemimpinan dan pengurusan yang bertanggungjawab.
“Ini adalah fakta yang boleh disahkan yang berdiri di atas meritnya sendiri dan boleh disahkan dengan mudah melalui pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan,” katanya. – Info X