Search

Wanita maut, tiga rakannya cedera dalam nahas di Kunak

October 21, 2025

Info X Reporters

KUNAK: Seorang wanita maut manakala tiga rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua lori di Jalan Kunak – Semporna, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 44 tahun yang memandu kereta Proton Wira dilaporkan tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Omarbatha berkata, sepasukan lima anggota bersama jentera bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.46 pagi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan operasi mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu dua lori tiga tan jenis Hino dan sebuah kereta Proton Wira.

“Tiga daripada empat mangsa dalam kereta sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Seorang lagi mangsa perempuan tersepit di bahagian pemandu dan operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan rescue tools,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala tiga lagi mangsa cedera yang menerima rawatan di hospital. Tiada maklumat lanjut diperoleh berhubung identiti mereka.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10 pagi selepas memastikan kawasan kejadian selamat,” katanya. – Info X