Search

Enam hari tersesat dalam hutan, lelaki ditemui selamat di Kalabakan

October 21, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Enam hari bertarung dengan sunyi, lapar dan gelap hutan akhirnya berakhir dengan kelegaan apabila seorang lelaki ditemui selamat selepas dilaporkan hilang di kawasan hutan Batu 32, Jalan Kalabakan – Maliau Basin, pagi tadi.

Mangsa, Khairul Saharin, 31, dilaporkan hilang sejak 14 Oktober lalu ketika keluar memancing dan mencari hasil hutan bersama sepupunya sebelum berpisah ketika dalam perjalanan pulang ke tapak perkhemahan.

Dia akhirnya ditemui pada jam 7.43 pagi tadi oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Platoon Tiger dalam keadaan lemah namun selamat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari keenam hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin, berkata pasukan bomba bersama agensi lain bergerak ke lokasi seawal jam 6 pagi dan hasil usaha bersepadu akhirnya mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan selamat.

“Mangsa terbabit dihantar ke Klinik Kesihatan Kalabakan menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa ditemui dalam keadaan selamat pagi tadi.

Menurutnya, operasi SAR yang bermula selepas laporan diterima daripada PBS Kalabakan pada 16 Oktober lalu itu membabitkan pelbagai agensi keselamatan dan bantuan lebih 70 penduduk kampung.

Katanya, laporan awal mendapati mangsa keluar bersama sepupunya untuk memancing dan mencari hasil hutan, namun berpisah ketika dalam perjalanan pulang ke tapak perkemahan.

“Sepupunya cuba menghubungi mangsa melalui WhatsApp, namun komunikasi terputus selepas mangsa memaklumkan bateri telefonnya hampir habis.

“Usaha pencarian oleh sepupu mangsa sebelum itu gagal disebabkan keadaan cuaca hujan dan kawasan hutan yang luas, sebelum operasi SAR dilancarkan keesokan harinya.

“Operasi yang berlangsung selama enam hari itu akhirnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.35 pagi selepas mangsa ditemukan dalam keadaan stabil,” katanya. – Info X