TAWAU: Hasrat seorang anak perempuan untuk ke tempat kerja berakhir tragedi apabila dia dan bapanya maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Merotai, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, kedua-dua mangsa lelaki berusia 54 tahun dan anak perempuannya berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas motosikal Yamaha 135LC yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada orang awam sebelum sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu lelaki berusia 38 tahun bersama empat penumpang dalam perjalanan dari arah bandar Tawau menuju ke Merotai, manakala motosikal ditunggang mangsa dari arah Kampung Melati Burut menuju ke Ladang Guthrie.
“Setibanya di lokasi, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.
“Impak kuat perlanggaran menyebabkan motosikal diseret ke bahu jalan, manakala kereta terbabas ke dalam parit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala pemandu kereta serta empat penumpangnya tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.
Champin turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi peraturan trafik bagi mengelakkan tragedi seumpama ini.
“Sikap berhemah ketika memandu mampu menyelamatkan nyawa sendiri dan orang lain,” katanya. – Info X