Search

Lelaki warga emas maut pacuan empat roda jatuh gaung

October 21, 2025

Info X Reporters

BELURAN: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia dalam keadaan tersepit di dalam kenderaan selepas pacuan empat roda dipandunya terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 75, Jalan Beluran – Telupid, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 80 tahun yang beralamat di Kampung Sungai Sapi, di sini, ditemui oleh pekerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang melalui kawasan berkenaan pada jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kenderaan pacuan empat roda dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam sembilan meter.

Beliau berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tersepit di tempat duduk pemandu oleh pekerja pembinaan lebuh raya yang melalui kawasan berkenaan.

“Kita percaya mangsa sudah meninggal dunia lebih daripada 24 jam sebelum mayatnya dijumpai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis menyeru mana-mana saksi yang melihat kejadian itu agar tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Mereka yang mempunyai maklumat juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Asdar Miktar di talian 011-15481071 atau Balai Polis Beluran di talian 089-51122,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu turut tular di media sosial selepas beberapa gambar dan video keadaan kenderaan dalam gaung berkenaan dikongsi orang ramai. – Info X