KOTA KINABALU: Jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membawa mesej ‘Kita Jaga Sabah’ kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17) bulan depan.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Nizam Abu Bakar Tintingan, berkata mesej itu selaras dengan tekad memastikan negeri ini terus stabil, maju dan bersatu di bawah GRS.
“DUN Sabah sudah dibubar dan jentera pilihan raya GRS untuk menghadapi PRN17 sudah dilancarkan, maka perjuangan kita kini bermula semula.
“Inilah masa untuk kita turun padang dengan semangat #RumahKitaKitaJaga kerana Sabah ini rumah kita, dan tanggungjawab kita bersama untuk menjaganya.
“Kita bawa mesej #KitaJagaSabah, dengan tekad memastikan negeri ini terus stabil, maju dan bersatu di bawah panji GRS,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, di bawah mesej itu, empat teras perjuangan dilaksanakan iaitu #SabahFirst, #SabahForward, #SabahProsper dan #SabahUnited.
“Ini mesti kita hidupkan dalam setiap langkah, dari rumah ke rumah, dari hati ke hati rakyat.
“Dan jangan lupa, semangat baharu kita ialah #SabahTanahAirku. Ini bukan sekadar slogan, tapi tanda cinta dan kesetiaan kita kepada bumi Sabah,” katanya. – Info X