Search

Pemandu maut kereta bertembung lori tangki sawit

October 22, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Bezza dipandunya bertembung dengan lori tangki membawa muatan minyak sawit di Jalan Bandar Balung, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa, Haris Abdul Mekka, 24, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Madzlan Sarman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 11.44 pagi.

Katanya, sepasukan 10 anggota bersama dua jentera dari BBP Tawau digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya pasukan di lokasi, kemalangan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan minyak sawit dan sebuah Perodua Bezza.

“Pemandu kereta Perodua Bezza berkenaan sudah dikeluarkan orang awam sebelum pasukan tiba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu lori tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu Perodua Bezza disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM.

Madzlan berkata, lori tangki minyak sawit berkenaan dialihkan menggunakan kren oleh syarikat bertanggungjawab bagi memastikan aliran lalu lintas kembali lancar.

“Pasukan bomba turut membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.10 tengah hari.

“Kes disiasat oleh pihak polis, manakala mayat mangsa diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X