Search

Keputusan Mahkamah Tinggi mengundang tafsiran mengelirukan – PM

October 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung 40 peratus hasil Sabah mengundang tafsiran yang mengelirukan.

Katanya, ia seolah-olah Kerajaan Persekutan hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah.

Berikutan itu, katanya kerajaan Persekutuan tidak dapat memperincikan perkara yang masih menjadi pertikaian di mahkamah.

“Kerajaan Persekutuan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berhubung Kajian Semula Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah.

“Kerajaan MADANI menghormati proses perundangan dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah diterima kelak, sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan atas nasihat Peguam Negara demi kebaikan dan kepentingan Sabah dan Malaysia seluruhnya.

“Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu antara lainnya mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan satu kajian semula bersama Kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kesan terhadap hak 40 peratus.

“Keputusan ini mengundang tafsiran yang mengelirukan seolah- olah bahawa kononnya Kerajaan Persekutan hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah.

“Bagi menghormati proses perundangan yang mungkin masih berlangsung, Kerajaan Persekutuan tidak dapat memperincikan apa jua perkara yang masih menjadi pertikaian di Mahkamah,” katanya pada sesi penerangan Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada sesi itu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut menerangkan kerangka besar kerajaan MADANI kepada Sabah.

“Hari ini bagi menyangkal tohmahan, saya ingin menerangkan kerangka besar berhubung komitmen Kerajaan MADANI kepada pembangunan Sabah,” katanya.

Pertamanya, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI komited memenuhi segala obligasi kepada Sabah sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, komitmen itu sepertimana dizahirkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri sebelum ini atau Perdana-Perdana Menteri dan Menteri-Menteri sebelum ini.

“Tidak dapat dimungkiri bahawa setakat ini, Kerajaan MADANI telah mencapai kemajuan positif dalam menyelesaikan banyak isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri II, menyaksikan sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 telah diselesaikan,” katanya.

Katanya, antara tuntutan yang dipersetujui bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah ialah penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd kepada Kerajaan Sabah.

Walaupun begitu, katanya Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah.

“Kerajaan MADANI juga mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Air Sabah sebagai jabatan teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.

“Selain itu, kita juga telah menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan Projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah sehingga RM50,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan juga meluluskan pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (1995), Akta 53 bagi melantik wakil Kerajaan Sabah Dan Sarawak sebagai Anggota Tetap LHDN. – Info X