Search

Kajian semula Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah sejak 2022 sah – PM

October 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kajian semula Pemberian Khas Kerajaan Persekutuan kepada Sabah yang dilaksana dan diwartakan pada 2022, 2023 dan 2025 adalah sah dan selaras dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertama, kajian semula itu mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan dan keperluan untuk menampung kos perkhidmatan di Sabah.

Kedua, katanya kajian semula itu juga meliputi tempoh lima tahun; dan ketika, pewartaan kajian semula sudahpun dibentangkan di Parlimen.

“Pemberian Khas kepada Sabah telah pegun pada kadar RM26.7 juta sehinggalah tahun 2021. Pada 2019, Kerajaan Sabah bersetuju dengan cadangan meningkatkan Pemberian Khas Sabah daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta.

“Kajian semula dibuat pada 2022 dan persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah pada masa itu dicapai untuk menaikkan kadar Pemberian Khas kepada RM125.6 juta.

“Di bawah Kerajaan MADANI, kajian semula Pemberian Khas juga dilaksanakan pada 2023 dan kita mencapai persetujuan bersama untuk menggandakan kadar Pemberian Khas kepada RM300 juta.

“Pada 2025, Kerajaan Persekutuan sekali lagi melaksanakan kajian semula dan mencapai persetujuan dengan Kerajaan Sabah untuk menaikkan sekali ganda lagi kadar Pemberian Khas kepada RM600 juta,” katanya pada sesi penerangan di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Anwar berkata, pembayaran keseluruhan Pemberian Khas RM600 juta telahpun disempurnakan pada 10 September lalu kepada Kerajaan Sabah.

Kadar Pemberian Khas yang dinaikkan kepada RM600 juta itu, katanya adalah bersifat interim, sementara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah selesai merumuskan kaedah baharu yang menentukan perkiraan Pemberian Khas pada masa depan. – Info X