KOTA KINABALU: Tindakan Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk William Majimbon meninggalkan parti dan menyertai Warisan, baru-baru ini didakwa tidak memberi kesan kepada PBS Inanam.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Bahagian PBS Inanam, Fredolin Totin Bangon, berkata ahli dan pemimpin PBS yang setia tetap komited mengukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17).
“Satu mesyuarat diadakan semalam membincangkan perkara ini dan menegaskan komitmen seluruh ahli serta kepimpinan bahagian untuk terus bersatu dan memberi fokus sepenuhnya kepada persiapan menghadapi pilihan raya umum negeri.
“Keputusan Datuk William tidak sama sekali melemahkan semangat ahli dan penyokong PBS di Inanam.
“Sebaliknya, ia menguatkan tekad kami untuk terus memperjuangkan prinsip dan perjuangan parti yang berteraskan keikhlasan, kestabilan dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya pada Rabu.
PBS Bahagian Inanam, katanya kekal konsisten dengan pendirian untuk berdiri teguh dan membantu memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17 demi masa depan dan kestabilan politik negeri.
Baru-baru ini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan kemasukan William ke dalam Warisan bagi menyertai perjuangan parti berkenaan.
Pengumumab itu dibuat pada satu sidang media di ibu pejabat Warisan di Kolombong, Inanam. – Info X