KOTA KINABALU: Seramai 10,100 anggota polis termasuk 1,200 dari Sarawak dan Bukit Aman dikerah bertugas sepanjang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, penugasan itu membabitlan seramai 8,900 anggota daripada Kontinjen Sabah, manakala 1,200 lagi akan menerima bantuan daripada Bukit Aman dan Kontinjen Sarawak.
Katanya, persediaan rapi meliputi semua aspek termasuk keselamatan awam, pergerakan logistik serta kerjasama antara agensi bagi memastikan perjalanan pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
“Semua keperluan logistik, pengangkutan serta penyelarasan penugasan sedang berjalan dengan baik.
“Kita juga telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi-agensi lain bagi menyelaras peranan masing-masing sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Jauteh berkata, perancangan rapi juga meliputi operasi keselamatan dan penghantaran bahan ke kawasan pedalaman atau pulau agar tidak terjejas dengan sebarang kemungkinan termasuk cuaca buruk.
“Penugasan pasukan bukan sahaja memberi tumpuan kepada kawalan keselamatan di pusat mengundi, tetapi juga menangani isu-isu bencana atau kejadian tidak dijangka sepanjang tempoh PRN,” katanya.
Beliau berkata, secara keseluruhan, tahap keselamatan di Sabah berada dalam keadaan baik dan terkawal.
“Kita mahu memastikan suasana aman serta kondusif sepanjang tempoh kempen, pengundian dan selepas keputusan diumumkan,” katanya.
Sehubungan itu, Jauteh mengingatkan semua pihak agar mematuhi peraturan semasa sepanjang tempoh pilihan raya dan tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Polis komited untuk memastikan proses demokrasi berjalan dengan aman dan lancar. Semua agensi keselamatan bekerjasama erat bagi menjamin keselamatan rakyat dan kelancaran pilihan raya umum di Sabah,” katanya. – Info X