Search

Tunai obligasi sesuai keperluan Sabah dan kemampuan fiskal kerajaan Persekutuan – PM

October 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen kerajaan Persekutuan untuk menunaikan segala obligasinya terhadap Sabah, termasuk Pemberian Khas.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu mengambil kira keperluan perkhidmatan Kerajaan Sabah dan kemampuan fiskal Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan MADANI telah sedaya upaya menyelesaikan segala tuntutan MA63 yang tertunggak, meningkatkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan menambah peruntukan mengurus dan pembangunan setiap tahun untuk kesejahteraan Sabah.

“Komitmen ini adalah berterusan supaya segala obligasi Kerajaan Persekutuan kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat dipenuhi selain menambah baik Pemberian Khas Sabah sesuai dengan keperluan perkhidmatan Kerajaan Sabah dan kemampuan fiskal Kerajaan Persekutuan.

“Inilah tekad Kerajaan MADANI dan sepertimana janji-janji lain, ia akan direalisasikan,” katanya pada sesi penerangan Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada Rabu.

Terdahulu, beliau berkata perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah terus meningkat, meliputi pemberian negeri, perbelanjaan mengurus agensi Persekutuan, subsidi bahan api serta perbelanjaan untuk pembangunan.

Katanya, jumlah perbelanjaan sebenar untuk Sabah bagi tahun 2022 adalah sekitar RM13 bilion, manakala bawah Kerajaan MADANI, perbelanjaan untuk Sabah ditingkatkan kepada RM14 bilion bagi tahun 2023 dan 2024.

“Kerajaan MADANI juga terus meningkatkan peruntukan kepada Sabah mencecah RM17 bilion bagi tahun 2025 dan 2026.

“Hakikatnya, perbelanjaan ini jauh melebihi jumlah hasil yang telah dikutip di Sabah untuk tahun 2022, 2023 dan 2024 iaitu sekitar RM10 bilion setahun.

“Hasil tersebut termasuk bayaran tunai hasil petroleum 5 peratus serta cukai langsung dan tidak langsung lain.

“Ini bermakna, Kerajaan MADANI telah membelanjakan lebih daripada hasil keseluruhan pendapatan di Sabah,” katanya.

Di bawah Belanjawan 2026, katanya Kerajaan MADANI terus mengambil kira keperluan Sabah dengan peruntukan pembangunan 2026 mencecah hampir RM7 bilion iaitu tertinggi berbanding semua negeri lain.

Katanya, di bawah RMK13, projek yang disenaraikan juga mengambil kira permohonan keutamaan Kerajaan Sabah.

“Umpamanya Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu (RM125 juta); Jalan dari Kalabakan ke Simanggaris (RM416 juta) dan Talian Penghantaran Elektrik Southern Link Fasa 1a (RM200 juta).

“Kerajaan MADANI telah meneruskan semula pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM14 bilion merangkumi RM5 bilion peruntukan pembangunan dan RM9 bilion dibiayai melalui pinjaman.

“Sejak 2024 juga, Kerajaan telah menyediakan pembiayaan berjumlah RM1 bilion untuk projek air Sabah dan ini dijangka siap pada tahun hadapan,” katanya.

Perdana Menteri turut menyebut mengenai sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap pertumbuhan sektor minyak dan gas di Sabah supaya dimanfaatkan rakyat di Sabah.

Untuk itu, katanya pada Disember 2021, Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dimeterai dengan Kerajaan Sabah bagi meningkatkan penyertaan anak Sabah dalam industri minyak dan gas Sabah.

“Dengan sokongan Kerajaan MADANI, kerjasama tersebut membuahkan hasil dengan kontraktor minyak dan gas Sabah memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada 2024.

“Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya Kerajaan Sabah mengenakan cukai jualan Sabah ke atas produk petroleum bagi tujuan menjana hasil tambahan kepada Sabah sekitar RM2 bilion sejak 2022,” katanya. – Info X