Search

Jangan tertipu tawaran bantuan kewangan, geran atau skim khas atas nama SSMJ

October 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan cubaan pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan bantuan kewangan, geran atau skim khas atas nama sekretariat itu.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, SSMJ menjelaskan bahawa tawaran yang dibuat melalui aplikasi Whatsapp, mesej peribadi dan saluran tidak rasmi yang lain adalah satu bentuk penipuan.

Sekretariat itu menjelaskan bahawa
tiada sebarang bentuk tawaran bantuan kewangan, geran atau skim khas kepada orang awam melalui mana-mana saluran komunikasi tidak rasmi yang dikeluarkannya.

“SSMJ memaklumkan kepada orang ramai bahawa terdapat beberapa cubaan penipuan yang menggunakan nama SSMJ bagi menawarkan bantuan kewangan, geran atau skim khas kepada orang awam melalui aplikasi WhatsApp, mesej peribadi dan saluran tidak rasmi yang lain.

“Untuk makluman, SSMJ tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk tawaran bantuan kewangan, geran atau skim khas kepada orang awam melalui mana-mana saluran komunikasi tidak rasmi.

“Sebarang hebahan atau tawaran rasmi hanya akan disalurkan melalui saluran rasmi Kerajaan Negeri Sabah atau portal rasmi SSMJ. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah mempercayai mesej yang mencurigakan menggunakan nama SSMJ,” kata kenyataan itu.

Sekretariat itu turut meminta orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat peribadi atau membuat sebarang transaksi kewangan kepada pihak yang tidak dikenali dan segera membuat laporan kepada polis sekiranya menerima mesej yang disyaki sebagai penipuan.

“SSMJ turut mengingatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat sahih melalui laman web rasmi Kerajaan Negeri Sabah dan platform rasmi media sosial
SSMJ.

“Dengan penjelasan ini, SSMJ berharap agar orang ramai terus berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang menggunakan nama SSMJ,” katanya. – Info X