Search

PPM gagalkan penyelewengan minyak sawit mentah

October 24, 2025

Info X Reporters

TAMBUNAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak sawit mentah dalam satu operasi di daerah ini, semalam, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM3 juta termasuk kenderaan dan peralatan yang digunakan.

Operasi yang dijalankan sekitar jam 10.30 malam itu dilaksanakan hasil maklumat risikan Unit Risikan Marin, membawa kepada penahanan lima individu warga tempatan disyaki terbabit dalam aktiviti berkenaan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil serbuan turut membawa kepada rampasan tiga lori tangki dan dua kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyelewengan.

Selain itu, katanya, turut dirampas 106,960 kilogram minyak sawit mentah yang disimpan tanpa kebenaran sah.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM3,005,127.60 termasuk kenderaan dan peralatan digunakan untuk menyeleweng minyak sawit mentah.

“Kes kini disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Nazri berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan PPM dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan hasil negara, khususnya di kawasan perairan serta lokasi strategik di Sabah.

“Pasukan Polis Marin akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan setiap kegiatan yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras secara tuntas.

“Orang ramai diminta supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau penyelewengan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara,” katanya. – Info X