Search

Bot pam guna bahan letupan ditahan di perairan Kunak

October 28, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah bot pam yang disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Pulau Tabawan, Kunak.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, penahanan itu dilakukan hasil maklumat risikan menerusi Ops Pluto Timur 2/2023 dan Ops Tiris 3.0, sekitar jam 4.30 petang semalam.

“Bot peronda APMM berjaya mengesan bot pam mencurigakan di kedudukan kira-kira 0.45 batu nautika timur laut Kampung Kunak Jaya.

“Namun, sebaik menyedari kehadiran anggota APMM, dua lelaki dewasa di atas bot terbabit bertindak terjun ke laut dan berenang ke arah pesisir pantai untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap bot berkenaan menemui pelbagai jenis ikan seberat kira-kira 10 kilogram yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Bot pam berkenaan turut tidak mempunyai nombor pendaftaran. Bot berkenaan kemudian ditunda ke Jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan bahan letupan,” katanya.

Beliau turut menyeru komuniti maritim agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan di laut melalui aplikasi WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil. – Info X