Search

Cuba terjun tingkat dua, remaja diselamatkan rakan

October 28, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: Tindakan pantas beberapa rakan berjaya menyelamatkan seorang remaja lelaki daripada terjun dari tingkat dua sebuah bangunan di Jalan Putatan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, remaja berusia 18 tahun berkenaan dipercayai berada dalam keadaan tertekan sebelum bertindak membuka tingkap bangunan berkenaan dengan niat untuk terjun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.29 malam, sepasukan enam anggota dengan sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa sudah dipegang oleh beberapa rakannya yang cuba menenangkannya.

“Pasukan operasi kemudian membantu menenangkan mangsa dan memastikan kawasan di tingkat dua bangunan itu berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, usaha menyelamat itu turut dibantu tiga anggota polis dan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi bagi memastikan mangsa tidak mencederakan diri.

“Mangsa akhirnya berjaya dipujuk dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.08 pagi selepas keadaan disahkan selamat,” katanya. – Info X