Search

Polis tahan enam lelaki merusuh di Tawau

October 28, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan sekumpulan lelaki menyerang seorang remaja di Kampung Kuala Merotai Besar, di sini, mengundang padah apabila enam suspek termasuk seorang remaja berusia 16 tahun ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, mangsa berusia 19 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar teman wanitanya sebelum kenderaannya dihalang sekumpulan lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kumpulan itu kemudian menarik mangsa keluar dari kenderaan sebelum memukulnya beramai-ramai tanpa sebab munasabah.

“Mangsa sempat mengenali salah seorang suspek dan segera membuat laporan di Balai Polis Bombalai.

“Hasil laporan itu, polis melancarkan operasi di sekitar Kampung Merotai dan berjaya menahan semua suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun kira-kira jam 4.05 petang semalam,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada salah faham antara mangsa dan kumpulan suspek sebelum bertukar menjadi pergaduhan.

“Semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan kekacauan awam dan akan terus mempergiat operasi bagi menjaga ketenteraman masyarakat,” tegasnya. – Info X